PASAR PERCUMA BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

KOTA BHARU 21 Oktober – Ambil apa sahaja bekalan makanan, pakaian dan barangan penjagaan diri mengikut keperluan masing-masing secara percuma.

Itu perkhidmatan menarik ditawarkan kepada golongan asnaf dalam Projek ‘Pasar Percuma untuk Asnaf 2.0’ anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kelab Sukan Dan Kebajikan Kumpulan PKINK dan Masjid As Salam Pengkalan Chepa di Perkarangan Masjid As-Salam, semalam.

Program itu bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan asnaf, malah membawa keceriaan kepada mereka selain menjadi penyuntik kesedaran kepada orang ramai untuk menyumbang bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Seorang warga emas, Siti Bidah Daud, 66, berkata, dia perlu berjimat cermat dan mengikat perut kerana pendapatannya yang tidak seberapa dan terpaksa menanggung kos perubatan suaminya yang terlantar sakit kronik.

“Saya amat berterima kasih kepada PKINK dan semua NGO yang menganjurkan program ini bagi membantu orang susah seperti kami.

“Sekarang saya sudah ada bekalan beras, minyak masak, gula dan lain-lain keperluan untuk kegunaan kami sekeluarga. Saya juga menerima baju yang masih baru dan sesuai untuk dipakai,” katanya ketika ditemui Media PKINK.

Turut berkongsi keterujaan ialah seorang ibu tunggal, Hayati Ab Rahim, 43, yang berharap program sama diadakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan golongan memerlukan terbela.

“Bantuan yang diberikan meringankan beban golongan asnaf, terutama yang mempunyai ramai anak. Terima kasih kerana prihatin dengan nasib kami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PKINK yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ahmad Nazri Ismail berkata, sebanyak 300 asnaf dari seluruh negeri ini menerima pek makanan asas bernilai hampir RM11,000 pada program itu.

“Penyediaan pek ini adalah daripada duit hasil sumbangan anggota Kumpulan PKINK sendiri serta orang ramai. Kita juga menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma, gunting rambut percuma dan agihan pakaian percuma.

“Kita mendapat kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya, Third Force Kota Bharu, Rumah Mahabbah Kota Bharu, Kemahang Care, Kelab Balkis, Akademi Kemahiran Darul Naim, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Kelantan, Pusat Perubatan An-Nisa’ dan lain-lain lagi,” katanya

Kongsi dengan rakan-rakan anda...Email this to someone
email
Print this page
Print
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
Share on LinkedIn
Linkedin
Pin on Pinterest
Pinterest