Tangani segera isu kos sara hidup

K1

KOTA BHARU- Perbincangan mengenai isu kos sara hidup oleh jawatankuasa tertinggi perlu disegerakan agar rakyat mendapat kefahaman yang jelas mengenainya.

BeritaPost

K2

Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata,  beliau berharap formula dan jawapan segera terhadap isu itu akan diperoleh sekali gus dapat memberi kefahaman yang jelas kepada rakyat.

“Perbincangan segera perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca dan formula terbaik menanganinya, kemudian berterus terang kepada rakyat berhubung faktor yang mempengaruhinya.

“Zaman Pak Lah (bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi), orang marah sebab harga petrol dan diesel naik, daripada AS$80 kepada AS$90 dan terus naik, jadi bila bahan api itu naik, harga barang pun naik.

“Tetapi sekarang harga bahan api itu turun, daripada AS$100 turun kepada AS$90, AS$80 dan kini AS$34, tetapi harga barang tetap naik, jadi benarkah barangan ini naik kerana minyak naik, maknanya peniaga dahulu menaikkan harga barang kerana minyak naik,” katanya ketika  ditemui media selepas menjayakan program turun padang, menabur benih padi di Ladang Merdeka Jabil, Ketereh, kelmarin.

Mengulas lanjut, Md Alwi yang juga Adun Kok Lanas berkata, beliau yakin ada faktor yang mempengaruhi isu ini sama ada dari aspek penguatkuasaan, atau sikap pihak- pihak tertentu.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu yang turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkenaan.

K3-B

Antara yang terlibat termasuk, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah;

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam pada itu Md Alwi yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan menukar Ladang Merdeka ke projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) dalam usaha meningkatkan lagi hasil pengeluaran.

Menurutnya, tidak ada penambahan terhadap kawasan projek Ladang Merdeka, sebaliknya ia akan ditukar kepada projek NKEA, di mana tanah disatukan dan sistem pengairan diperbaiki, sehingga kini terdapat 17 kawasan Ladang Merdeka di seluruh negeri melibatkan 780 hektar.

“Sehingga kini kita berpuas hati dengan pencapaian Ladang Merdeka yang telah mencapai sasaran hasil ditetapkan iaitu 5.5 tan per hektar semusim, malah kita akan berusaha untuk terus meningkatkannya di bawah projek NKEA ini, yang kini sudah terdapat 1300 hektar,” katanya.

 

K4

 

 

Kongsi dengan rakan-rakan anda...Email this to someone
email
Print this page
Print
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
Share on LinkedIn
Linkedin
Pin on Pinterest
Pinterest